Manakala produk tarikan pula Kenyir Island Hopping, Santuari Ikan Kelah dan Pusat Konservasi Gajah Kenyir.
Jika ke sini, wajib merasai pengalaman tidur di rumah bot. Rumah bot yang dinaiki penulis merupakan yang terbaharu di Tasik Kenyir. Segalanya nampak selesa dari kokpit pemandu, dek depan yang luas juga ruang makan, dapur, tandas dan bilik.
Menurut pemilik rumah bot ini, Haji Kamaruddin, kos pembinaannya sekitar RM400,000. Ia rumah bot kedua yang dimilikinya.
Pakej rumah bot ialah 2H 1M , seorang RM250 dengan 20 orang minimum manakala 3H 2M RM400 seorang dengan 20 orang minimum. Maksimum rumah bot mampu memuatkan seramai 30 orang. Ada juga rumah bot lebih besar dengan kapasiti 80 orang.
Antara spot menarik sekitarnya seperti Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Gua Bewah,
Gua Taat, Taman Herba, Santuari Ikan Kelah, Taman Tropika, Taman Rama-rama dan lain-lain bergantung pada pakej yang dipilih.
Dari Pengkalan Gawi, rumah bot belayar jam enam petang. Ketika ini pemandangan tasik sungguh mempersona sewaktu matahari terbenam. Kami menuju ke kem Sungai Saok yang mengambil masa dua jam.
Sambil merakam momen matahari terbenam, minum petang yang enak sudah tersedia. Menghirup kopi ditemani angin berhembus manja , sungguh mendamaikan jiwa.
Rumah bot menelusuri tasik dengan kelajuan sekitar 15-20kmj.
Tiada lambungan ombak,tidak seperti di laut. Sambil nikmati keindahan tasik dan hutan, boleh memancing, berkaraoke, menonton televisyen dan berkayak.
Makanan disediakan ternyata enak belaka. Usai makan malam, masing-masing bebas membuat hal sendiri. Lewat malam kami memancing ikan.
Khabarnya sekitar jam satu hingga tiga pagi banyak ikan baung. Kami cuba nasib tapi yang mengena hanya seekor.
Cuaca sejuk, tiada nyamuk ditemani suasana sunyi sepi membuatkan tidur nyenyak hingga keesokan hari.
Santuari ikan kelah
Rumah bot bergerak ke Sungai Petang, santuari Ikan Kelah Lubuk Kejor. Perjalanan sekitar dua jam untuk ke sana.
Jika menaiki bot laju dari Pengkalan Gawi hanya mengambil masa sekitar 40 minit.
Di Sungai Petang, rumah bot berlabuh dan kami menaiki bot kecil yang mengambil masa 10 minit ke bahagian dalam.
Dari sini kami trekking sejauh 1.7km ke Lubuk Kejor dan 45 minit melalui jambatan gantung merentasi spot ikan kelah merah.
Dari pandangan atas kelihatan ribuan ikan kelah. Hanya lalu di atas boya terapung ikan berkerumun datang.
Celup saja tangan, kelah jinak meragut tangan. Kelah hidup di air bersih dan mengalir. Paling banyak kelah hitam, sekali-sekala kelihatan kelah merah.
Kelah raja ikan air tawar kerana isi yang lemak sedap. Kelah hitam hidup sekilo cecah RM300 ke atas, manakala kelah merah hidup pula cecah RM1,000 sekilo.
Pada 31 Oktober santuari ini ditutup dan dibuka semula pada Mac.
Ini bagi mengelakkan air deras dan berwarna teh tarik ketika itu. Maka rancang trip anda.
Taman herba
Terletak di Pulau Sah Kecil dengan luas 15.84 hektar, taman ini ada 26,000 pokok herba dari 230 spesies. Setiap pokok ditanda nama dan sangat padat dengan pokok herba.
Ada pondok kecil Pondok Harmoni, tempat herba dimasak. Kami diberi penerangan tentang tongkat ali, kacip fatimah dan mahkota dewa. Herba dimasak dalam periuk tanah liat menggunakan kayu sebagai bahan api.
Festival Kenyir 2017
Pagi 14 September, Festival Kenyir dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Hj Ahmad Razif Abdul Rahman. Ia menyasarkan 60,000 pengunjung dengan lebih 30 aktiviti yang disediakan.
Festival berlangsung selama empat hari. Pelbagai aktiviti telah berjaya diadakan termasuk Kenyir International Triathlon, Kenyir Rainforest Challenge, Asean Monsoon Casting Tournament dan Bird Watching.
Bagi yang sukakan aktiviti mencabar, memancing, alam semula jadi, ikan kelah, berkayak dan rumah bot, Tasik Kenyir wajib anda kunjungi.
-Sinarharian