Ketua dan Pakar Perunding Kanan dan Pakar Perubatan Reproduktif, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, obesiti menyebabkan peluang untuk mengandung kurang walaupun telah diberi rawatan.
“Ia merupakan antara punca utama masalah kesuburan wanita. Definisinya sama dengan lelaki. Namun apabila berkaitan fertiliti, ia lebih memberi kesan kepada wanita," katanya ketika ditemui pada Forum Awam, Jom Kurus anjuran Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Menurutnya, HTAR adalah salah satu hospital yang menyediakan rawatan fertiliti dan didapati ramai pesakit datang kerana masalah kesuburan.
“Terdapat 30 hingga 40 peratus pesakit datang ke klinik fertiliti kami kerana masalah tersebut.
“Saya yakin mereka yang mempunyai masalah obesiti telah cuba untuk kurus, tapi kurang motivasi diri dan sokongan orang terdekat seperti suami dan keluarga. Pegawai perubatan juga perlu menjadi model kepada pesakit,” katanya.
Dalam pada itu mengulas mengenai program, beliau berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang kesan obesiti terhadap kesuburan dan sistem reproduktif wanita.
"Seramai kira-kira 200 peserta hadir dalam program ini. Atas sambutan yang menggalakkan, saya harap dapat menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Sathakumari, 31, berkata, azamnya untuk menurunkan berat badan semakin jelas setelah mengikuti program tersebut.
“Saya nekad nak kurus melalui kawalan makanan secara sihat. Saya puas hati dapat hadir ke program ni dengan rela hati kerana banyak informasi berguna yang boleh saya praktikkan selepas ini,” katanya.
Bagi Siti Aishah Mohd Jaffar, 29, berkata, program ini memberi kesedaran kepadanya kerana matlamat untuk mendapatkan anak sangat kuat.
“Saya bersyukur dapat datang sebab tak sangka ia beri kesedaran kepada saya. Selepas ni saya akan turunkan berat dengan cara betul,” katanya.
Ikuti Channel Tip Kesihatan supaya tidak terlepas tip kesihatan terkini. Jom! Klik Sini
-Sinarharian








