Sesetengah wanita yang mengalami amenorrhea mendapati ia sukar untuk diatasi walaupun pelbagai kaedah atau pendekatan tertentu telah dijalankan.
Menurut pandangan penulis, faktor-faktor atau punca yang dipercayai berperanan membentuk keadaan tersebut harus diketahui dahulu untuk mengatasinya dengan sempurna.
Amenorrhea terbahagi kepada dua: Amenorrhea primer dan sekunder.
Amenorrhea pimer biasanya berlaku kepada remaja perempuan pada peringkat umur mereka sepatutnya mengalami menstruasi dan datang haid. Remaja wanita berumur 16 tahun yang masih tidak datang haid harus berjumpa doktor bagi mengenal pasti punca dan akan diberi nasihat langkah-langkah yang harus dilakukan.
Amenorrhea sekunder pula merupakan jenis yang biasa dialami oleh wanita pelbagai peringkat umur dan berlaku kepada wanita yang pernah datang haid.
Sesetengah punca amenorrhea adalah semula jadi. Selain itu terdapat juga amenorrhea yang berpunca daripada masalah kesihatan atau penyakit tertentu.
Semula jadi
Punca-punca semula jadi amenorrhea termasuk mengandung, menyusukan anak dan menopaus. Faktor-faktor gaya/cara hidup pula ialah bersenam secara keterlaluan atau stres (fizikal/emosi).
Terlalu banyak atau terlalu sedikit lemak tubuh juga dikatakan mempengaruhi kedatangan haid – datang lambat atau berhenti.
Ketidakseimbangan hormon termasuk gangguan pada kelenjarkelenjar pituitary, tiroid dan adrenal. Paras testosteron tinggi, androgen tinggi atau estrogen rendah boleh menyebabkan amenorrhea.
Pengambilan ubat-ubatan moden tertentu dikatakan boleh menyebabkan amenorrhea misalnya kemoterapi, rawatan radiasi, antipsikosis, pil perancang keluarga tertentu, ubat menurunkan tekanan darah (antihypertensive) dan antikemurungan (antidepressant). Begitu juga dengan berhenti mengambil pil perancang keluarga secara serta-merta.
Kerosakan fi zikal misalnya masalah struktur pada komponen organ reproduktif dikatakan mungkin boleh menyebabkan amenorrhea misalnya kerosakan berlaku sejak dilahirkan, ketumbuhan (benign/ malignan) atau jangkitan pada rahim/ ovari.
Sindrom Asherman yang jarang berlaku berpunca daripada parut pada rahim akibat pembedahan juga boleh menyebabkan amenorrhea. Gangguan genetik dan kromosom seperti sindrom Turner dan Sawyer dikatakan melambatkan kedatangan haid.
Stres emosi gred rendah yang dialami secara berterusan dikatakan menyebabkan paras estrogen menjadi rendah. Ia berpunca dari paras hormon kortisol yang sentiasa dirembes pada paras tinggi yang menyebabkan paras hormon dehydroepiandrosterone
(DHEA) menjadi rendah. DHEA ialah prekursor (bahan binaan) hormonhormon testosteron dan estrogen.
Kesimpulannya, stres emosi gred rendah menyebabkan paras kortisol meningkat, mengurangkan DHEA dan seterusnya mengurangkan paras estrogen – mengakibatkan kitaran menstruasi tidak normal termasuk berpotensi membentuk amenorrhea.
Polycystic ovarian syndrome (SPO: sindrom polisis ovari) dikatakan boleh menyebabkan amenorrhea sekunder.
SPO berlaku apabila tubuh wanita membina hormon androgen lebih dari kadar normal. Paras androgen tinggi akan menyebabkan sis-sis berisi cecair tumbuh pada ovari. Keadaan ini mengganggu pelepasan telur (ovulasi).
Kebanyakan wanita yang mengalami SPO dikatakan mengalami amenorrhea atau oligomenorrhea (haid tidak menentu).
Wanita yang kerap bersenam menggunakan tenaga fi zikal tinggi yang menyebabkan paras kortisol tinggi dan terlalu menjaga diet (kurang makan lalu menyebabkan ketidakseimbangan nutrien) dikatakan mudah terdedah kepada perembesan androgen oleh kelenjar adrenal secara berlebihan lalu membentuk adrenal SPO. Simptomsimptom adrenal SPO dikatakan serupa dengan simptom-simptom SPO berpunca di ovari termasuk amenorrhea.
Amenorrhea hypothalamus (hypothalamic amenorrhea) pula berlaku apabila kelenjar hypothalamus yang terletak pada otak berfungsi mengawal pelbagai proses tubuh bertindak memperlahan atau memberhentikan pengeluaran hormon gonadotropin releasing hormon (GnRH).
GnRH bertanggungjawab memulakan kitaran menstruasi.
Sifat-sifat wanita yang mengalami amenorrhea hypothalamus termasuk berat badan rendah, peratusan lemak tubuh rendah, kurang mengambil makanan berkalori/lemak, mengalami stres emosi, bersenam beria-ia membakar kalori tubuh melebihi kalori diambil melalui makanan, kekurangan leptin (hormon mengawal selera dan metabolism) dan mengalami masalah kesihatan atau penyakit tertentu.
Tirod merupakan kelenjar berbentuk rama-rama yang terletak pada pangkal leher. Ia membina hormon-hormon yang membantu mengawal metabolisme dan berperanan dalam pembentukan puberti dan menstruasi.
Kelenjar tiroid terlalu aktif (hiperaktif) atau kurang aktif (hipotiroid) dikatakan boleh mempengaruhi kedatangan haid secara negatif termasuk menyebabkan amenorrhea.
Ketumbuhan bukan kanser yang berlaku pada kelenjar pituitari yang berfungsi mengawal pembinaan pelbagai hormon yang memberi pelbagai kesan fisiologi termasuk metabolisme dan kitaran menstruasi juga boleh mengganggu fungsi hormon yang mengawal menstruasi.
Ujian
Menurut kajian berjudul Evaluation and management of adolescent amenorrhea yang terbit dalam jurnal Annals of The New York Academy of Science (2010), seseorang wanita yang mengalami amenorrhea boleh meminta doktor menjalankan ujian bagi mengetahui paras-paras follicle stimulating hormone (FSH), luteinizing hormone (LH), thyroid stimulating hormone (TSH) dan prolactin.
Doktor akan membantu mengenal pasti sama ada anda mengandung atau tidak, memeriksa tanda-tanda SPO dan menopaus berdasarkan perubahan berat badan, akne, pertumbuhan rambut serta tanda-tanda lain.
Perlu diketahui bahawa sebahagian pakar percaya mengalami berlebihan berat badan bukan kriteria penentu dan penyebab SPO. Dianggarkan antara sepertiga hingga separuh wanita mengalami SPO memiliki berat badan normal atau rendah.
Dari perspektif perubatan alternatif, kualiti kesihatan dan keseimbangan/keharmonian hormon wanita dipengaruhi oleh diet (makanan yang dimakan), paras stres, ikatan kekeluargaan, cara bersenam, persekitaran dan elemen spiritual.
Memahami fungsi setiap elemen gaya/cara hidup sihat tersebut serta mengamalkan semua elemen secara sungguh-sungguh dipercayai dapat membantu mencegah atau mengatasi amenorrhea yang sedang dialami.
Melakukan senaman ringan seperti berjalan, berenang dan chigong yang melibatkan pergerakan sederhana tubuh dipercayai paling sesuai bagi mengelakkan amenorrhea menjadi semakin buruk. Senaman antara 30-45 sehari memadai.
Herba-herba adaptogen seperti yin yang huo, pegaga, ruku-ruku atau Siberian ginseng dipercayai dapat membantu meredakan stres dan mengharmoni paras pelbagai hormon
Ikuti Channel Tip Kesihatan supaya tidak terlepas tip kesihatan terkini. Jom! Klik Sini
SINARHARIAN
BAHRAIN SAMAH, MH, MD (AM)
Pendidik/pebulis genre perubatan prevetif/alternatif








