Versi sedia ada iaitu Windows 8, sering dipersendakan pengguna kerana memperkenalkan terlalu banyak perubahan radikal. Justeru, Microsoft menampilkan kembali beberapa aplikasi tradisional sekali gus menjanjikan Windows 10 akan lebih mudah digunakan tidak kira versi mana yang digunakan sekarang.
Sebagai contoh, menu pemula (start) dalam Windows 10 akan kelihatan sama seperti yang ditemui pada Windows 7 tetapi penampilan kekotak pemula akan kelihatan seperti yang ditemui pada Windows 8. Windows 10 akan membolehkan pengguna kemudahan penggunaan seperti Windows 7 tetapi menikmati pelbagai kelebihan yang ada pada Windows 8.
Perisian terbaharu ini menzahirkan percubaan untuk berundur daripada rekaan radikal yang mungkin tidak disenangi pengguna komputer peribadi (PC) seperti yang terjadi ketika Windows 8 diperkenalkan dua tahun lalu.
Bagaimanapun, ia bukanlah peralihan sepenuhnya daripada sasaran Microsoft untuk merapatkan jurang antara PC dan peranti mudah alih kerana versi terkini Windows masih mempunyai fungsi skrin sesentuh dan iltizam untuk mewujudkan pengalaman penggunaan tanpa batasan bagi pengguna Windows yang beralih antara PC, tablet dan telefon pintar.








