Destinasi muzik yang jelas
Album: Get Em Girls
Artis: Jessica Mauboy
Genre: Pop R&B
Edaran: Sony Music Entertainment
PENYANYI kelahiran Darwin, Australia ini memasuki industri hiburan selepas memboloskan diri dalam program realiti, Australian Idol pada 2006.
Meskipun cuma berpuas hati pada tempat kedua, Jessica Mauboy meraih kontrak bersama Sony Music Australia dan diberi peluang melahirkan kompilasi, The Journey pada 2007.
Album itu memuatkan himpunan lagu yang pernah dipersembahkannya sepanjang menyertai Australian Idol.
Percubaan pertamanya diperoleh pada 2008 menerusi album sulung, Been Waiting.
Album memuatkan lagu seperti Running Back, Burn dan Because meraih platinum berkembar serta diiktiraf sebagai album kedua mencatat penjualan tertinggi di Australia pada 2009.
Get Em Girls adalah album keduanya yang dirakamkan di Los Angeles, New York dan Atlanta menemukan Mauboy dengan ramai komposer popular Amerika Syarikat.
Album ini menemukan Mauboy dengan apa yang dicarinya, malah destinasi muziknya juga semakin jelas. Album ini padat diisi lagu yang bernuansa urban, malah mungkin mengingatkan pendengar kepada apa yang pernah dipersembahkan Beyonce Knowles.
Barangkali jati dirinya sebagai penyanyi masih belum dicungkil sepenuhnya kerana Get Em Girls cuma mengangkat genre popular yang sudah sebati dengan pendengar.
Namun dari segi potensi, Mauboy mampu muncul sebagai pelapis yang akan membanggakan industri dengan kekuatan bakatnya.







